KHARKIV (Ukraine): Jerman di ambang suku akhir Euro 2012 selepas menewaskan Belanda, 2-1 awal pagi semalam hasil dua gol sumbangan Mario Gomez sekali gus meningkatkan kemungkinan skuad Oranje tersingkir seawal pusingan pertama.
Belanda, naib juara Piala Dunia, akan tersingkir awal pagi Isnin ini kecuali jika mereka menewaskan Portugal pada perlawanan terakhir kumpulan di Stadium Metalist dan berharap Jerman menundukkan Denmark pada hari sama di Lviv untuk menghidupkan peluang layak ke suku akhir.
“Kami masih ada peluang untuk mara dan kami mesti percaya,” kata jurulatih Belanda, Bert van Marwijk.
“Beribu-ribu penyokong datang ke sini dan kami perlu mempamerkan aksi terbaik buat mereka, kami mesti mengalahkan Portugal untuk menghidupkan semula harapan.” Selepas Portugal menewaskan Denmark 3-2, Jerman kini memerlukan hanya satu mata apabila turun menentang Denmark di Lviv bagi memastikan mara ke suku akhir Euro 2012 sebagai juara Kumpulan B.
“Laluan ke suku akhir kini terbentang luas,” kata jurulatih Jerman, Joachim Loew di pangkalan latihan, Gdansk, Poland, gelanggang juara Kumpulan B beraksi pada suku akhir.
“Kami mahu maju selangkah lagi hari ini dan memang penting untuk memenangi perlawanan kedua.
“Amat penting menjuarai kumpulan ini untuk terus kekal di Gdansk, yang bakal menjadi kelebihan pada suku akhir.
“Belanda mencipta beberapa peluang tapi berjaya ditangkis pertahanan kami. Apapun saya berasa cabaran Belanda sudah berakhir selepas 60 minit.” - AFP
No comments:
Post a Comment